Copyright © Journey Anak Watan
Design by Dzignine
Sunday, 1 April 2012

Jadi Pemberontak Pun Dapat Gaji???




ISTANBUL: Peserta persidangan yang membincangkan situasi Syria semalam berkata, Arab Saudi dan negara lain di Teluk akan menyediakan dana bagi membiayai gaji pemberontak Tentera Pembebasan Syria.
Tabung itu turut menyediakan imbuhan untuk tentera yang berpaling tadah daripada rejim Presiden Bashar al-Assad untuk menyertai pemberontak.

Pelan itu adalah sokongan rasmi pertama ditunjukkan terhadap gerakan pembangkang Syria - walaupun hanya melalui aspek kewangan.
Ia juga menyediakan penyelesaian kepada pelbagai pandangan terhadap cadangan memberikan senjata kepada pemberontak bagi menghadapi tentera Bashar.

Sumber persidangan berkata, cadangan berkenaan itu diluluskan tetapi perinciannya masih diusahakan.

Tidak dapat dipastikan bagaimana dana itu akan ditubuhkan serta dipantau.
Delegasi dari puluhan negara bertemu di Istanbul semalam bagi meningkatkan tekanan ke atas Bashar supaya menamatkan keganasan ke atas penentangnya.

Sebelum itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Saud al-Faisal, berkata menjadi “tanggungjawab” negaranya menyediakan senjata kepada pembangkang Syria dan membantu mereka mempertahankan diri. “Saya fikir, mereka tidak mampu mempertahankan diri kecuali menggunakan senjata api,” katanya di sidang media bersama Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton.

Mengenai situasi keselamatan di Teluk yang rapuh, Saud berkata satu daripada puncanya adalah disebabkan konflik berlanjutan yang gagal diselesaikan, selain polisi ganas Israel ke atas Palestin.

“Kami membincangkan pelbagai isu dalam persidangan ini, terutama kekejaman ke atas rakyat Syria.

“Persidangan turut membincangkan perkembangan terkini di Yaman serta menilai semula keadaan politik di Teluk, Timur Tengah dan Afrika Utara,” katanya. - AP

info dari : http://www.hmetro.com.my


0 comments:

Post a Comment