KUALA TERENGGANU: “Saya ingat sudah hendak mati apabila rasa rumah yang diduduki bergoyang,” kata Ramlah Abu Bakar, 75, yang trauma selepas rumahnya di Pangsapuri Ladang Gemilang, di sini, bergegar akibat kesan gempa bumi di Aceh, semalam.
Ibu kepada 11 anak yang tinggal di tingkat 10 pangsapuri berkenaan ketika ditemui berkata, dia yang menggunakan kerusi roda untuk bergerak hanya mampu mengucap dalam kejadian jam 4.50 petang itu sebelum dibawa turun oleh anak sulungnya, Zainun Kadir, 38, dengan menggunakan lif untuk menyelamatkan diri.
“Saya, anak dan enam cucu bernasib baik tidak terperangkap dalam lif yang gagal berfungsi selepas kami menggunakannya,” katanya.
Jirannya, Mariam Abu Bakar, 72, tinggal di tingkat lapan pangsapuri itu berkata, ketika kejadian dia baru selesai sembahyang Asar dan tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak berasa apa-apa.
“Saya jadi takut dan cemas apabila cucu yang tinggal di tingkat tiga bergegas masuk rumah membawa saya dan suami turun dengan lif selepas memberitahu berlaku gegaran di pangsapuri yang kami diami sejak dua tahun lalu.
“Mujur ada cucu yang bertindak pantas menyelamatkan kami kerana saya hanya tinggal berdua dengan suami, Ibrahim Ngah, 80, dan dia pula sakit serta terpaksa menggunakan kerusi roda,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Zakaria Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.50 petang daripada penduduk mendakwa berlaku gegaran di Pangsapuri Ladang Gemilang dan tiba di situ empat minit kemudian.
“Kami dimaklumkan penduduk bahawa mereka terasa kesan gegaran daripada gempa bumi yang berlaku di Aceh dan selepas melakukan pemeriksaan, kami dapati keadaan selamat serta tiada kesan retakan sebelum membenarkan penduduk naik semula ke kediaman mereka kira-kira 45 minit selepas itu.
Pangsapuri setinggi 16 tingkat itu didiami kira-kira 1,000 penduduk.
berita dari : http://www.hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment