Copyright © Journey Anak Watan
Design by Dzignine
Wednesday, 11 April 2012

Gempa Bumi Pulau Pinang


Operasi feri dihentikan


PERAI: Perkhidmatan feri yang menghubungkan tanah besar dan bahagian pulau di Pulau Pinang dihentikan operasinya susulan gempa bumi yang berlaku di Aceh, Indonesia, semalam.
Operasi feri pada kedua-dua arah iaitu dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di bahagian pulau dan Pangkalan Raja Tun Uda di tanah besar, dihentikan kira-kira jam 8.30 malam semalam.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Penang Port, Suhailawatie Ramli, berkata pihaknya menghentikan operasi feri berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Operasi dihentikan sehinggalah kami mendapat maklumat lanjut mengenai ancaman tsunami yang dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Plus Berhad (Plus), Khalilah Mohd Talha pula berkata, operasi di jambatan Pulau Pinang tetap berjalan seperti biasa.


Bergegas penuhi jalan



GEORGETOWN: Kesesakan lalu lintas luar biasa berlaku hampir beberapa jam di laluan menuju ke jambatan Pulau Pinang apabila orang ramai berpusu-pusu menggunakan laluan itu selepas berlaku dua gegaran susulan tsunami di Aceh, Indonesia, petang semalam.
Gegaran kuat itu turut menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini terutama penghuni bangunan tinggi merasainya. Antara kawasan yang merasai gegaran itu seperti Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Prangin Mall, Plaza Gurney dan beberapa hotel di pesisiran pantai, Batu Feringgi dan Lebuh Sungai Pinang.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan yang pernah dilanda tsunami seperti di Batu Feringghi, Persiaran Gurney, Tanjung Tokong dan Balik Pulau mendapati orang ramai mula mengosongkan kawasan berkenaan selepas diarahkan pasukan keselamatan.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, satu gegaran dirasai kira-kira lima minit hingga menyebabkan penghuni bangunan tinggi, pejabat dan pusat beli-belah mengosongkan bangunan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Dua jam selepas itu, gegaran kali kedua mula terasa dan penduduk di Kampung Chew Jeti diarahkan mengosongkan kediaman mereka berikutan dibina di kawasan berhampiran pantai.

Sementara itu, ribuan pekerja di sebuah kilang membuat pakaian di Jalan Pinang, di sini bertempiaran lari selepas mendapat arahan pihak pengurusan supaya mengosongkan bangunan berkenaan.

Mereka kemudiannya dikumpulkan di hadapan kilang dan ada yang dilihat panik kerana merasai gegaran kuat ketika bekerja di kilang empat tingkat itu.

Kilang berkenaan mempunyai pekerja dari Indonesia, China, Vietnam dan Myanmar kelihatan terpinga-pinga kerana tidak tahu kejadian sebenar.

Seorang daripada pekerja kilang terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Wati dan berasal dari Indonesia berkata, dia terasa gegaran ketika bekerja sebelum berlari keluar.

“Saya dan rakan-rakan terus keluar sebelum mendengar loceng kecemasan berbunyi dan ketika itu ramai lagi pekerja turut berpusu-pusu meninggalkan bangunan terbabit.

“Selepas mengetahui gegaran itu berlaku kerana satu gempa yang kuat di Indonesia, saya terus menghubungi ibu untuk bertanyakan khabar dan lega apabila ibu memberitahu mereka sekeluarga selamat,” katanya.

Pihak pengurusan kilang berkenaan kemudiannya meminta pekerjanya yang mempunyai barang berharga dan dokumen penting masuk untuk mengambil barang mereka itu, manakala yang lain dibenarkan pulang.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang sedang membeli-belah di Plaza Gurney turut merasai gegaran.

Menurut seorang pengunjung dari Jepun, Yoshio Hirano, 50, ketika itu dia berada di sebuah kedai pakaian sebelum berasa pening dan melihat patung serta lampu turut bergoyang.


berita dari : http://www.hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment