IPOH : Lebih 100 penduduk pangsapuri Taman Harmoni, Buntong, di sini, bertempiaran menyelamatkan diri sejurus merasai gegaran luar biasa di kediaman mereka kira-kira jam 5 petang semalam.
Gegaran kuat selama lima minit itu menggerunkan penduduk yang mendakwa melihat kereta mereka bergoyang selain mengalami kesan loya dan muntah.
Salah seorang penduduk, P Vasanthakumara, 36, berkata dia merasai gegaran ketika berbaring di lantai ruang tamu rumahnya.
“Saya mulanya menyangka berdepan serang sakit jantung sebelum melihat almari dan beberapa peralatan di dalam rumah turut bergoncang kuat.
“Ini pengalaman pertama saya merasai gegaran kuat seumpama ini dan ia amat menakutkan,” katanya yang tinggal di tingkat empat pangsapuri itu.
Sementara itu, seorang pekerja kilang, Rohana Abdul Wahab, 42, turut panik apabila dia tidak dapat berdiri tegak sebelum pening dan rebah.
“Gegaran itu berlaku lebih lima minit dan ia lebih hebat dari gegaran yang berlaku ketika bencana tsunami pada tahun 2004,” katanya.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, memaklumkan berlaku gegaran di beberapa kawasan di Perak antaranya Parit Buntar, Kamunting, Seri Manjung, Bidor, Bagan Serai dan Ipoh.
Sementara itu, 16 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Sungai Manik, Teluk Intan, yang mengadakan kenduri kesyukuran sempena pertabalan Yang di Pertuan Agong ke-14 Tuanku Abdul Halim, turut merasai gegaran gempa bumi yang berlaku selama lima minit.
Ketua Kampungnya, Hakim@ Hashim Mohamad, 64, berkata, mereka berasa panik apabila mendapati dewan tempat mereka mengadakan kenduri kesyukuran bergegar sebelum orang ramai bergegas keluar dari dewan.
“Kami mendapati pokok kelapa dan pokok yang terletak berhampiran dewan turut bergoncang dengan kuat. Malah, air yang berada di dalam besen turut melimpah keluar,” katanya.
berita dari : http://www.hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment