KUANTAN: “Pada mulanya saya rasa pening kepala dan sangkakan ia perkara biasa, namun apabila melihat kerusi dan meja bergerak sendiri selain air di dalam gelas berkocak, hati saya mula tidak rasa tenang dan yakin ia bukanlah sesuatu yang biasa,” kata Zawiyah Mohd Taib, 52, mengenai gegaran yang berlaku selama tiga hingga lima minit di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Zawiyah berkata, ketika kejadian, dia sedang menjaga anaknya di wad C, tingkat tujuh bangunan hospital berkenaan dan menyedari bangunan HTAA bergegar dan sejurus kemudian, jururawat yang bertugas mengarahkan pelawat turun serta merta.
“Saya turun menggunakan tangga tetapi di pertengahan jalan, saya naik semula untuk menyelamatkan anak saya yang masih berada di wad berkenaan. Mujur tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.
Gegaran yang berlaku di HTAA mengakibatkan suasana panik dan kira-kira 500 kakitangan HTAA serta pesakit dan pelawat bergegas turun dan berkumpul di tempat letak kereta selepas diarahkan berbuat demikian.
Seorang pelawat, Perumal Subramaniam, 54, berkata, dia berada di tingkat lapan untuk melawat seorang jirannya yang sakit dan ketika gegaran berkenaan, dia melihat air di dalam gelas berkocak agak kuat dan segera mengajak isteri jirannya itu turun namun wanita berkenaan enggan kerana mahu berada di sisi suaminya.
“Saya cemas kerana kejadian gegaran ini tidak pernah berlaku di Kuantan sebelum ini. Sebaik turun ke bawah, saya dimaklumkan bahawa gegaran itu berlaku akibat gempa di Aceh,” katanya.
Seorang lagi pelawat, Chia Wei Mun, 32, berkata, ketika gegaran itu, dia menjaga ayahnya di tingkat tujuh dan segera turun apabila bunyi wisel dibunyikan pengawal keselamatan sebagai amaran mengosongkan bangunan berkenaan.
“Saya terpaksa tinggalkan bapa saya kerana diarahkan untuk turun segera. Mujur tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.
berita dari : http://www.hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment