'JAW' rasa sebagai pelajar IPT atau lebih sesuai dengan gelaran siswazah harus pandai menilai yang mana baik dan buruk. Bukan itu sahaja, tindakan mereka ini seharusnya memberi nilai baik kepada adik-adik dan masyarakat tapi bukannya berperangai tidak matang dan langsung tak mencerminkan keperibadian sebagai seorang siswazah.... Sikap yang agak kurang ajar ini seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua...
Info selanjutnya lihat di bawah :
JOHOR BAHRU: Perbuatan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menghantar batu nesan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menuntut pilihan raya kampus diadakan dengan segera, disifatkan sebagai tindakan tidak matang dan hanya mencari publisiti murahan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai individu yang berpelajaran dan bergelar mahasiswa IPT, mereka sepatutnya menggunakan saluran yang betul seperti sesi dialog dan perbincangan bagi menyuarakan sebarang pendapat atau cadangan yang ingin disampaikan kepada pihaknya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai sekumpulan pelajar berhimpun di depan bangunan KPT di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum yang turut disertakan dengan batu nesan kepada beliau bagi menuntut pilihan raya kampus diadakan segera berikutan tempoh penggal majlis perwakilan mahasiswa (MPP) di beberapa IPT didakwa sudah berakhir sejak Februari lalu.
Memorandum itu diterima Setiausaha Politiknya, Mohamad Khairi A Malik tetapi beliau enggan menerima batu nesan itu yang disifatkan sebagai lambang kematian demokrasi pelajar.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas pelajar terbabit kerana ia tidak membabitkan isu atau perkara yang serius, selain hanya disertai oleh sebilangan kecil pelajar saja.
Sementara dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled menasihatkan pihak sekolah dan PIBG supaya memainkan peranan lebih aktif dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang mampu menjana pertumbuhan modal insan bagi menjamin kemajuan dan pembangunan negara pada masa depan.
“Kecemerlangan di sekolah adalah asas tahap pencapaian kita semua namun begitu, kita juga perlu melihat semula kepada proses awal bagaimana kejayaan itu di raih.
“Kita perlu bersedia dan mempertahankan kecemerlangan yang ada kerana cabaran yang dihadapi sekarang tidak sama dengan apa yang kita hadapi dulu. Kini kita berdepan dengan era globalisasi yang menuntut kita bekerja lebih gigih supaya lebih ramai modal insan dapat dilahirkan,” katanya.
dari : http://www.bharian.com.my
0 comments:
Post a Comment