Copyright © Journey Anak Watan
Design by Dzignine
Saturday 6 October 2012

Perempuan Simpanan ‘teringin tapi takut’



apa yang berlaku sekarang, lelaki dan wanita seharusnya berkerjasama dalam semua hal kan? masing-masing kena jaga diri masing-masing bukan pentingkan ego masing-masing sahaja. so artikel di bawah yang di petik dari http://www.hmetro.com.my/ sedikit sebanyak dapat membuka ruang pemikiran kita untuk menghargai pasangan masing-masing bagi yang dah berkahwin....hehe


Jangan jadi lelaki ‘teringin tapi takut’


KUALA LUMPUR: Jika dalam bola sepak Inggeris ada frasa ‘Road to Wembley’ atau laluan ke Wembley, perlakuan
sumbang segelintir lelaki kaya yang beristeri tetapi pada masa sama menyimpan kekasih gelap sebagai pemuas nafsu disifatkan sebagai tindakan sengaja menempah laluan ke neraka atau ‘Road to hell’.
Pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh berkata, golongan itu layak dilabel lelaki 3T iaitu teringin tapi takut - merujuk kepada mereka yang ingin berkahwin lain tetapi takut kepada isteri pertama.

Katanya, sepatutnya golongan lelaki miang itu takutkan Allah kerana jelas perbuatan berkenaan satu daripada dosa besar yang dilaknat Tuhan.
“Jangan lakukan perbuatan terlarang itu untuk memuaskan nafsu. Berbuat sesuatu secara curi-curi dan haram memang seronok. Syaitan seolah-olah bermaharajalela sehingga menghalang mereka melunaskan nafsu melalui saluran betul.

“Pasangan sebegini jika melakukan perbuatan itu secara berterusan sepanjang hidup, mereka sebenarnya membina dosa dengan menanggung risiko, sekali gus menggalakkan aktiviti tidak bermoral berlaku dalam masyarakat.

“Perbuatan silap langkah berlaku sekali saja dalam hidup, tetapi jika terus berulang kali melakukannya itu bukan silap langkah tetapi sengaja.
“Jika berterusan dilakukan ia bukan lagi kesilapan, tetapi disengajakan dengan memilih cara hidup salah serta menidakkan syariat Islam.

“Untuk itu, elakkan perkara buruk daripada berterusan dengan bernikah mengikut apa disyariatkan Allah menerusi institusi perkahwinan sah.
“Bagi perempuan pula, jika melakukan permulaan yang kotor, dibimbangi akan berlaku gejala sosial lain seperti membuang atau membunuh bayi tidak berdosa serta masalah lain berkaitan,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad hari ini mengenai kesanggupan segelintir wanita menjadi perempuan simpanan dan ditaja lelaki kaya semata-mata inginkan kemewahan hidup di ibu kota.

Mohd Zawawi berkata, mereka perlu segera bertaubat kerana perbuatan itu menyalahi hukum agama dan adat Melayu, selain memalukan keluarga.

Bagi lelaki berkenaan pula, katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu wajar ditegur, terutama di kalangan mereka yang mengetahuinya, supaya tidak berterusan.

“Sikap buta agama menyebabkan penyelewengan akidah. Dia mempunyai kewangan mencukupi dan boleh berkahwin dengan wanita simpanan tetapi mengapa meneruskan perbuatan itu, sedangkan dia boleh menyimpannya secara halal iaitu menerusi perkahwinan sah.

“Kalau takut bini, jangan buat. Kalau nak buat juga, takutkan Allah dan kahwin dengan wanita itu. Itu yang sepatutnya dilakukan lelaki kaya seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata, jika pasangan berkenaan terus melakukan dosa dan kemudian meninggal dunia tanpa sempat bertaubat dan memohon ampun daripada Allah, mereka akan menjadi ahli neraka.

“Perempuan yang merelakan dirinya disimpan dan digunakan secara sukarela memang sengaja mencipta dosa. Sedar dan bertaubat serta berhenti melakukan perbuatan terkutuk itu dengan kembali ke jalan Allah.

“Allah Maha Pengampun dan memaafkan hamba-Nya jika mereka benar-benar bertaubat, kerana menghentikan perbuatan zina akan mengelak diri daripada terus mencipta dosa besar secara berterusan,” katanya.

Usah salahkan lelaki sahaja


KUALA LUMPUR: “Saya banyak menerima kes suami mempunyai perempuan simpanan. Kita tidak boleh salahkan lelaki sepenuhnya kerana dalam kes tertentu, si isteri terikat dengan kerjaya atau terlalu sibuk menguruskan perniagaan.
“Ini menyebabkan layanan isteri kepada suami menjadi hambar dan membuatkan si suami tergerak untuk mencari perempuan lain dan ‘menyimpan’ mereka,” kata kaunselor berdaftar, Hushim Salleh.

Hushim berkata, sesetengah masalah pula datang daripada isteri yang tidak membenarkan suami berkahwin lain.

“Jika suami mampu daripada segi kewangan dan boleh memikul tanggungjawab, kenapa tidak benarkan mereka berkahwin lain? Ini lebih baik daripada mereka terus menerus melakukan zina dan dosa besar.

“Seperti kebanyakan kes yang saya kendalikan, si suami mampu berkahwin lain. Bagaimanapun, kerana sayangkan isteri pertama dan terpaksa mengikut kehendaknya yang tidak membenarkan suami berkahwin lagi, membawa golongan Adam ke lembah maksiat,” katanya.

Selain itu, statistik menunjukkan masalah sosial itu yang boleh meruntuhkan sistem perkahwinan wujud pada 2000 dan ia berlanjutan sehingga kini.


Menurut Hushim, apabila zaman semakin moden, masalah sosial yang sukar dibendung seperti ini akhirnya menjadi ikutan atau ‘trend’ bagi golongan berada.

“Pada pendapat saya, masalah menyimpan wanita menjadi seperti trend bagi golongan ini. Apabila seorang daripada kenalan mereka ada teman wanita, rakan lain tidak mahu mengalah. Ini terjadi apabila ego si lelaki melebihi imannya.

“Tidak salah jika saya katakan mereka lebih mengutamakan dunia dan bukan akhirat gara-gara iman yang nipis. Namun, tidak semua usahawan atau orang kaya mempunyai tabiat seperti ini,” katanya.

Hushim berkata, semestinya perbuatan seperti ini dosa besar yang harus dielakkan.

0 comments:

Post a Comment