Copyright © Journey Anak Watan
Design by Dzignine
Wednesday, 29 May 2013

Tahniah UiTM Perlis, Tahniah UiTM Shah Alam (Liga IPT)



Kuala Lumpur: UiTM Perlis kini boleh menarik nafas lega apabila selesa mendahului Divisyen Satu Kejohanan Bolasepak Institusi Pengajian Tinggi (Liga IPT) dengan kelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat yang juga skuad ‘abang’, UiTM Shah Alam selepas mencatat dua kemenangan dalam tempoh empat hari.
Universiti Malaya (UM) pula melengkapkan tiga pasukan teratas selepas mengecewa skuad ‘bermasalah’, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2-1 untuk meraih 18 mata selepas 10 perlawanan.

Dengan baki empat perlawanan, skuad dari Arau itu yang dibimbing bekas pemain Piala Malaysia Perlis dan Kedah, Manja Man kini berada di landasan tepat untuk muncul juara baru selepas didominasi UiTM Shah Alam tiga musim berturut-turut.
“Lega sikit tapi saya harap pemain dapat kekalkan momentum,” kata Manja. “Kami sudah melepasi ujian getir pertama apabila menewaskan UKM minggu lalu dan Sabtu ini menentang UM pula. Harap-harap pemain mampu mengulangi persembahan sama untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas." Jika UiTM Perlis mampu mengatasi UM, juara MASUM 2012 dan Antara Universiti Asia Pasifik itu, hala tuju sebenar milik siapa kejuaraan musim ini akan lebih terserlah. Kejohanan ini berakhir pada 6 Julai sebelum Piala FA dan Piala Menteri Pengajian Tinggi berlangsung pada September.

Pengendali UiTM Shah Alam Wan Mustafa Wan Ismail pula lebih tenang ketika berdepan situasi yang dianggap kian rumit buat penyandang juara itu.

“Perebutan takhta liga kian menarik. Ia baik untuk bolasepak IPT,” kata Wan Mustafa, mengambil alih tugas Azman Eusoff yang kini mengendalikan skuad UiTM dalam saingan Liga Perdana anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Begitupun Wan Mustafa percaya empat aksi terakhir menjadi penentu selain menganggap peluang mempertahan gelaran buat kali keempat tetap ada dengan syarat pemain bangkit meneruskan kecemerlangan dibina dua pengendali sebelum ini, Omar Ali serta Azman.

Sementara itu, pengendali UKM Sulaiman Hussin yang menyatakan perlawanan tertangguh memberi kesan buruk kepada pemainnya tampak menjadi kenyataan.
“Sudah saya katakan, penangguhan beberapa perlawanan bukan kelebihan tapi memberi kesan buruk kepada pemain,” kata Sulaiman. “Saya harap dua kekalahan dalam masa seminggu memberi pengajaran dan pemain harus memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya.”

0 comments:

Post a Comment