Copyright © Journey Anak Watan
Design by Dzignine
Wednesday 29 May 2013

perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di stadium kosong?

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Johor Bahru: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mencadangkan agar perlawanan separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Johor Darul Takzim dan Pahang di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini dilangsungkan di stadium yang kosong bagi mengelak insiden kekecohan di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu, berulang.
Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah lebih elok jika tiada penyokong menyaksikan perlawanan itu bagi menjamin keselamatan kedua-dua penyokong sama ada di pihak Johor DT mahupun Pahang memandangkan kekecohan yang berlaku di Kuantan, baru-baru masih belum reda.

“Saya tidak bantah beraksi di padang berkecuali tapi apa yang saya harapkan biarlah aksi Johor DT-Pahang dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong kerana keadaan masih panas selepas insiden di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu. “Keselamatan penyokong menjadi kepentingan buat saya tidak kira sama ada penyokong itu dari Johor DT atau Pahang. Mungkin tiada insiden berlaku ketika mereka berada di dalam stadium tetapi bagaimana keselamatan mereka selepas perlawanan. Apakah jaminan pihak polis atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di luar stadium.
“Saya tidak cabar mana-mana pihak tapi pandangan ini datang dari rasa keprihatinan saya terhadap keselamatan penyokong. Kita tidak mahu apa yang terjadi di Stadium Darul Makmur berulang malah bola sepak lebih kepada menyatukan rakyat dan bukannya memecah belah antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di Istana Bukit Pelangi, di sini, semalam.

Tunku Ismail juga menegaskan perlawanan membabitkan Johor DT-Pahang yang akan diadakan di sebelah petang tidak menimbulkan sebarang masalah namun berharap pihak FAM menerima cadangan supaya tiada penyokong hadir menyaksikan perlawanan itu.

Katanya, PBNJ akan menghantar surat rasmi kepada FAM bagi mencadangkan perlawanan itu diadakan tanpa kehadiran kedua-dua penyokong bagi memastikan kelancaran perlawanan itu tanpa diganggu gugat segelintir penyokong yang boleh mencemarkan bola sepak negara.
“Apa yang saya ingin tekankan biarlah perlawanan itu nanti diadakan tanpa gangguan kerana saya sedih melihat penyokong Johor DT terpaksa berada di stadium sehingga lewat jam 2 pagi kerana tidak dapat keluar dari Stadium Darul Makmur dan saya bertindak untuk mengarahkan pihak polis mengawal keadaan sehingga semua penyokong Johor DT pulang dengan selamat,” kata Tunku Ismail.
Oleh Rizar Mohd Noor

0 comments:

Post a Comment