Lebih membanggakan atlet yang mengutip pingat dalam Sukma itu bukan hanya diberikan insentif wang tunai, malah semua atlet termasuk pegawai turut diberikan hadiah menunaikan umrah.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian atlet yang bertanding dalam Sukma kali ini, biarpun tanpa sukan kanu yang menjadi lubuk emas buat Terengganu serta atlet yang bertanding di Sukan Olimpik tidak dibenarkan beraksi, kita masih mampu menjadi juara Sukma buat kali keempat berturut-turut.
“Justeru, pada hari ini kerajaan negeri bukan hanya memberi insentif wang tunai kepada atlet yang membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa malah kerajaan juga bersetuju membawa semua atlet dan pegawai yang mengukir sejarah buat Terengganu mengerjakan umrah selepas pilihan raya,” kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, ketika berucap dalam majlis penyampaian insentif kemenangan kepada atlet Sukma di kediaman rasminya di Seri Iman, Kuala Terengganu, Terengganu kelmarin.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussin.
Ahmad juga turut mengumumkan kerajaan akan membina asrama berdekatan dengan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu bagi menempatkan atlet negeri ini mengadakan latihan secara lebih tersusun.
“Semua perancangan sudah dilakukan dan jika tiada sebarang masalah, asrama yang mampu memuatkan ramai atlet itu akan mula dibina pada tahun depan,” katanya.
Pada Sukma yang berlangsung di Pahang itu, Terengganu mengesahkan kuasa sukan tanah air terus menjadi miliknya apabila berjaya mengutip 62 emas, 24 perak dan 30 gangsa.
Atlet memanah, Nurul Iryani Muda, muncul penerima insentif tertinggi sebanyak RM25,000, diikuti Abd Mubin Rahim dalam sukan angkat berat kategori 77 kilogram (kg) menerima RM23,500 manakala jaguh lumba basikal lebuh raya, Zahraa Anuawar mendapat RM20,000 hasil empat emas yang dimenangi.
Sementara itu, Abd Mubin yang juga Olahragawan Sukma ke-15 Pahang, mengakui dia agak terkilan kerana gagal mengatasi rekod kebangsaan dalam acara snatch yang masih dipegang atlet dari Pahang, Zulkifli Che Ros dengan angkatan 136kg.
“Sesudah berjaya memecah rekod kebangsaan dan Sukma dalam acara clean & jerk dengan angkatan 171kg berbanding rekod lama milik Mohd Hidayat Hamidon 170kg, saya berhasrat untuk memecah rekod kebangsaan dalam snatch, namun nasib tidak menyebelahi saya yang hanya mampu memecah rekod Sukma milik Mohd Azzamuddin Nordin dengan kelebihan satu kg berbanding rekod lama 127kg,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/30
sumber dari : http://www.hmetro.com.my
Oleh Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment